Salam Hari Kebangsaan ke-64

Coretan Hidup

Salam Kemerdekaan ke-64 Malaysia Prihatin

06 Sep 2021 03:55 AM

Tahun ini kita menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-64. Tepat jam 12 tengah malam tanggal 31 Ogos 1957, negara kita telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada jajahan British.

Malaysia terdiri daripada

  • 4 Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang)
  • 5 Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor)
  • Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura, Melaka)
  • Wilayah Sabah
  • Wilayah Sarawak
  • Wilayah Persekutuan

Negeri-negeri Melayu (Bersekutu dan Tidak Bersekutu) telah bergabung membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948. Kemudian Wilayah Sabah, Sarawak dan Negeri Selat menyertai persekutuan tanah melayu membentuk Malaysia pada 16 September 1963.Singapura keluar daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara berdaulat pada 9 Ogos 1965.

Berikut adalah serba sedikit sejarah tentang asal usul negeri-negeri melayu. 

1. Perlis 

Asalnya adalah sebahagian daripada kawasan Kerajaan lama Kedah dan kemudiannya di bawah Kerajaan Siam. Bemula menjadi sebuah negeri berdaulat pada 1843. Kerajaan Siam telah menaiktaraf Perlis menjadi sebuah negeri dan melantik Syed Hussein sebagai Raja Perlis yang pertama dengan gelaran Raja Syed Hussien Jamalullail

2. Kedah

Sultan Kedah yang pertama adalah Seri Paduka Maharaja Derbar Raja II / Phra Ong Maha Wangsa atau nama Islamnya Sultan Muzaffar Shah I, menjadi Sultan Kedah pada tahun 1136

3. Kelantan

Kesultanan Melayu Kelantan bermula pada tahun 1763 dengan Long Yunus sebagai Raja Kelantan yang pertama.

4. Terengganu

Kesultanan Melayu Terengganu bermula pada tahun 1708 diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin ibn Tun Habib Abdul Majid. Tun Habib Abdul Majid merupakan bendahara Johor dan Terengganu ketika itu dibawah pemerintahan Kesultanan Johor

5. Johor

Johor wujud sejak tahun 801, dengan nama Tanjung Puteri. Menjadi wilayah tanggungan Majapahit pada abad ke-14 dan kemudiannya menjadi sebahagian daripada Kesultanan Melaka.

Pada tahun 1511, Portugis telah menawan kota Melaka, menyebabkan Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Pahang dan kemudian ke Bintan, Johor. Pada tahun 1528, Sultan Alauddin Riayat Shah I mengasaskan Kesultanan Johor.

Sultan Johor yang ke-10, Sultan Mahmud Shah II merupakan Sultan Johor terakhir dari keturunan Sultan Melaka. Ini berikutan Sultan Mahmud mangkat tanpa memperolehi zuriat dan adat Melayu Lama menegaskan bahawa keturunan Bendahara boleh naik takhta kalau raja mangkat tanpa waris, iaitu setelah diputuskan oleh jemaah pangkuan [email protected] Ahl al-Hal Wa al-'Aqd. Justeru itu Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil diangkat menjadi Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil IV.

Sultan Johor kini, Sultan Ibrahim ibn Almarhum Sultan Iskandar yang dikatakan berketurunan Temenggung iaitu Temenggung Daeng Ibrahim dan Sultan Abu Bakar menjadi sultan pertama dari keturunan temenggung. Namun begitu, Temenggung Daeng Ibrahim sebenarnya adalah keturunan Sultan Abdul Jalil IV.

Tun Habib Abdul Majid dan Bendahara Tun Abbas pernah menjadi Raja Bendahara Pahang ketika Pahang di bawah jajahan takluk Johor. Daripada Tun Abbas, membentuk Kesultanan Pahang. Anak Tun Habib Abdul Majid, Sultan Zainal Abidin membentuk Kesultanan Terengganu

6. Perak

Kesultanan Melayu Perak bermula pada tahun 1528 diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I, putera kepada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah

7. Selangor

Kesultanan Melayu Selangor bermula pada tahun 1743 diasaskan oleh Raja Lumu putera Daeng Chelak. Daeng Chelak merupakan salah satu dari Lima Putera Bugis Bersaudara. 

8. Negeri Sembilan

Asalnya didiami oleh penduduk asli melayu-proto sekitar tahun 1450 - 1600 di bawah naungan Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor. Pembentukan Negeri Sembilan berlaku sekitar tahun 1640 apabila orang minangkabau dari Sumatera berhijrah dan menyatukan kawasan yang mereka kuasai. 

Pada tahun 1770, selepas kemangkatan Sultan Johor Sultan Ahmad Riayat Shah, berlaku perebutan kuasa antara bugis dan pembesar melayu.

Pembesar melayu inginkan sama ada Tengku Abd Kadir atau ,Tengku Buang yang merupakan saudara almarhum Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah.

Manakala bugis yang dipimpin oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja memilih Raja Mahmud, yang merupakan adinda sultan johor yang baru mangkat, Sultan Ahmad Riayat Syah.

Pergolakan ini menyebabkan masyarakat minangkabau di Negeri Sembilan mencari perlindungan daripada pemerintah Minangkabau, Sultan Abdul Jalil Pagaruyung.

Sultan Abdul Jalil Pagaruyung menghantar anaknya, Raja Melewar menjadi pemerintah Negeri Sembilan yang pertama. Raja Melewar menjadi Yang Dipertuan Negeri Sembilan pada 1773 - 1795.

9. Pahang

Pahang bermula di bawah wilayah Kerajaan Siam dan kemudiannya di bawah Kerajaan Kesultanan Melaka. Pada tahun 1470, Sultan Melaka ketika itu telah menghantar puteranya, Raja Muhammad untuk menjadi Sultan Pahang yang pertama bergelar Sultan Muhammad Shah ibn Sultan Mansur Shah

10. Pulai Pinang

Pulau Pinang asalnya merupakan sebahagian daripada wilayah Kerajaan Kedah. Pada tahun 1789, penjajah British telah memohon Pulau Pinang daripada Kerajaan Kedah untuk dijadikan pelabuhan dan seterusnya menjadi salah semuah wilayah jajahan British

11. Melaka

Kesultanan Melayu Melaka telah diwartakan bermula pada 1262 diasaskan oleh Parameswara yang merupakan raja terakhir Kerajaan Temasik (kini dikenali sebagai Singapura).

Pada tahun 1389, Kerajaan Majapahit telah menyerang Temasek, menyebabkan Parameswara melarikan diri ke Sungai Bertam dan kemudiannya mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka.

12. Sabah

Sabah asalnya adalah sebahagian daripada wilayah Kerajaan Brunei pada abad ke-15. Bahagian timur Sabah kemudiannya diserahkan kepada Kesultanan Sulu sebagai hadiah kerana Sultan Sulu telah membantu Kerajaan Brunei menewaskan musuh. Pada tahun 1521, Sabah telah jatuh ke tangan British

13. Sarawak

Sarawak telah lama wujud sejak zaman Kerajaan Srivijaya. Selepas kejatuhan Srivjaya, Sarawak bersilihganti di bawah jajahan Kerajaan Majapahit dan Kerajaan Johor dan kemudiannya menjadi sebahagian dari wilayah Kerajaan Brunei pada abad ke-19

14. Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur dibina pada 1857 bermula di Sungai Gombak dan Klang. Ia bermula sebagai pusat perlombongan bijih timah yang diusahakan oleh Raja Abdullah. Kuala Lumpur menjadi ibu negara kepada Persekutuan Tanah Melayu selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Pada 1 Februari 1972, Kuala Lumpur diberi taraf bandaraya dan pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur dipisahkan daripada Selangor menjadi Wilayah Persekutuan.

Berbeza dengan negeri dan wlayah lain, Wilayah Persekutuan tidak ditadbir oleh kerajaan negeri sebaliknya ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Pada 16 April 1984, wilayah Labuan yang asalnya dibawah pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah, telah dimasukkan ke dalam Wilayah Persekutuan.

Pada 1 Februari 2001, Putrajaya, yang dibina dari kawasan Sepang, dibawa masuk ke dalam Wilayah Persekutuan

Fungsi Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia, Labuan sebagai Pusat Perniagaan Dan Kewangan Antarbangsa (IBFC - Internasional Business & Finance Center) dan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbitan Persekutuan

 

Apa Komen Anda

  • E-mail anda hanya digunakan untuk pengintegrasian bersama Gravatar.com, tidak akan dipaparkan, dihebahkan, atau dijual kepada pihak ketiga
  • Dilarang komen yang menyentuh sensiviti mana-mana agama, bangsa dan negara.
  • Dilarang melakukan spam, beriklan dan komen di luar tajuk